Riausastra.com – Cahaya matahari yang hampir tenggelam membasuh bumi dengan kehangatan adiwarnanya. Anak-anak kecil bermain di halaman sambil tertawa ceria tanpa beban dunia. Tetapi bagi Sofea, senja itu tidak pernah hanya sekadar warna jingga. Senja itu merupakan pengingat bahawa segala sesuatu di dunia ini hanya bersifat sementara. Tiada yang hakiki.
Sofea, seorang gadis berusia dua puluh lima tahun, berdiri di tepi jendela rumah kayunya yang serba usang. Pandangannya menerobos jauh ke hamparan sawah yang memantulkan cahaya senja. Di tangannya tergenggam bingkai gambar lama yang antik. Gambar itu menunjukkan seorang lelaki tua, senyumnya penuh kasih sayang. Itulah arwah ayahnya, satu-satunya keluarga yang pernah dia miliki.
‘Hidup ini seperti senja. Selagi hidup, takdir adalah teka-teki yang tiada penghujungnya. Cantik dan adiwarna namun tiadalah kekal. Jangan terlalu leka pada sesuatu yang akan sirna Sofea.’ bisik ayahnya suatu ketika dahulu.
Kata-kata itu terngiang-ngiang di benak Sofea. Lebih-lebih lagi setelah pemergian ayahnya dua tahun yang lalu. Dia menghembuskan nafas panjang, seakan-akan cuba melepaskan beban di dadanya. Namun demikian, bagaikan air mata jatuh ke perut, kekosongan yang ditinggalkan oleh ayahnya seperti jurang yang tidak pernah terisi.
Hari-hari Sofea dihabiskan dengan menguruskan kedai kecilnya yang menjual hasil tangan kraf tempatan. Pelanggan datang dan pergi. Kebanyakannya pelancong tertarik akan keindahan desa itu. Di luar, kicauan burung dan deru angin menjadi melodi latar yang mengiringi kerja-kerjanya. Walaupun ramai yang kagum dengan hasil seninya, Sofea tidak pernah merasa puas. Dia merasakan hidupnya kosong, seperti senja yang hampir gelap tetapi tidak pernah mencapai malam.
Suatu hari, seorang lelaki asing datang ke kedainya. Lelaki itu, memperkenalkan dirinya sebagai Aiman merupakan seorang jurugambar dari bandaraya Kuala Lumpur. Dia sedang dalam perjalanan mencari inspirasi untuk pameran fotografinya yang bertemakan “Kehidupan di Desa”.
“Awak pemilik kedai ini?” tanya Aiman sambil memegang sebuah ukiran kayu berbentuk daun palma.
“Ya, semua hasil tangan di sini saya yang buat.” Sofea menjawab sambil mengangguk.
Aiman tersenyum.
“Cantik sekali. Awak ada bakat yang luar biasa. Boleh saya tahu, apa sumber inspirasi sehingga tercetusnya idea ini?”
Sofea terdiam sejenak, matanya tertuju ke bingkai gambar ayahnya yang terletak di sudut meja.
“Senja,” jawabnya perlahan.
“Hal ini mengingatkan saya bahawa hidup ini sementara, tapi setiap saatnya berharga. senja itu sebuah perasaan. Senja itu juga mengikhlaskan. Senja juga bukan hanya sekadar peralihan waktu. Terdapat banyak hal yang saya dapat belajar daripada senja. Bagi saya senja itu juga erti ketabahan. Senja itu melepaskan. Senja itu juga adakalanya keindahan dan senja itu seperti lukisan. Akhir sekali senja itu sebuah kehidupan yang turut menjadi hadiah perpisahan daripada Tuhan.”
Kata-kata Sofea membuatkan Aiman terpaku. Dia mula tertarik dengan cara Sofea melihat dunia, penuh kepekaan dan keindahan.
Hari-hari berikutnya, Aiman sering datang ke kedai itu, bukan hanya untuk membeli kraf tangan, tetapi juga untuk berbicara dengan Sofea. Percakapan mereka sering berkisar tentang seni, kehidupan, dan mimpi yang belum tercapai.
Sofea mula merasakan sesuatu yang baru dalam hidupnya. Kehadiran Aiman seperti warna baru di kanvas yang kian sirna. Tetapi di hatinya, dia tahu bahawa kebahagiaan ini mungkin juga hanya sementara, seperti senja yang tidak pernah abadi.
Pada suatu petang, Aiman mengajak Sofea untuk berjalan-jalan di sekitar desa. Mereka duduk di atas bukit kecil yang menghadap ke sawah padi sambil memerhatikan matahari yang semakin rendah. Sambil melihat teja yang akan menyempurnakan senja itu lalu menghadiahkan indah yang sementara.
“Sofea, kalau hidup ini memang seperti senja, apa yang awak ingin lakukan sebelum senja itu berakhir?” Tanya Aiman secara tiba-tiba memecahkan suasana yang membisu antara mereka.
Sofea terdiam. Pertanyaan itu menusuk ke dalam atmanya. Dia merenung jauh ke arah teja seolah-olah mencari jawapan di balik awan.
“Saya ingin meninggalkan sesuatu yang bermakna, bukan hanya untuk saya, tetapi untuk orang lain juga.” Jawab Sofea.
Aiman mengangguk, wajahnya serius.
“Saya rasa awak sudah melakukannya, melalui hasil seni awak. Tapi saya percaya awak boleh lakukan lebih banyak lagi, kalau awak mahu.”
Kata-kata itu memberikan Sofea semangat yang baharu. Malam itu, untuk pertama kalinya dalam beberapa tahun, dia merasa ada harapan dalam mandala hidupnya. Dia mula merancang untuk memperluas kedainya, melibatkan lebih ramai penduduk desa dalam penghasilan kraf tangan, dan mungkin suatu hari nanti membuka sebuah galeri kecil yang mempamerkan keindahan hidup di Desa.
Beberapa minggu selepas itu, Aiman terpaksa kembali ke bandar untuk urusan kerjanya. Sebelum pergi, dia meninggalkan sebuah bingkisan kecil untuk Sofea. Di dalamnya terdapat sebuah kamera lama dan sepucuk surat.
Sofea,
Senja adalah waktu yang paling indah kerana senja mengingatkan kita tentang keindahan yang sementara. Hidup ini mungkin tidak kekal, tetapi kenangan adalah abadi. Gunakan kamera ini untuk merakam momen-momen berharga di sekeliling awak. Siapa tahu suatu hari nanti, gambar-gambar itu akan menjadi inspirasi untuk dunia. Terima kasih kerana menjadi senja yang indah dalam hidup saya.
Yang benar,
Aiman.
Air mata Sofea mengalir membaca surat itu. Dia tahu, perpisahan ini mungkin adalah pengakhiran kisah mereka, tetapi juga permulaan perjalanan baru dalam hidupnya. Dengan kamera di tangan, dia mula melihat dunia dari perspektif yang berbeza. Setiap senja yang dirakamnya adalah peringatan bahawa walaupun hidup ini sementara, keindahannya tidak pernah sia-sia.
Pertemuan itu menjadi saksi kepada perubahan dalam hidup Sofea. Kedainya berkembang, dan hasil seninya semakin dikenali. Dia juga mula mempamerkan fotografi senjanya, yang mendapat sambutan luar biasa dari pelancong dan para penduduk tempatan.
Hidup ini memang hanya sebatas senja, tetapi bagi Sofea, setiap senja adalah peluang untuk mencipta sesuatu yang bermakna. Dan, walaupun Aiman tidak lagi ada di sisinya, kenangan dan pengaruhnya akan terus hidup. Seperti cahaya matahari yang memancar di sebalik mega berarak sebelum menghilang sepenuhnya. Senja itu mungkin singkat, tetapi keindahannya kekal dalam hati mereka yang menghargainya.
***
سنج
چهاي متهاري يڠ همڤير تڠڬلم ممباسوه بومي دڠن كهڠاتن اديورنڽ. انق-انق كچيل برماين د هلامن سمبيل ترتاوا چريا تنڤ ببن دونيا. تتاڤي باڬي سوفيا، سنج إتو تيدق ڤرنه هاو سكادر ورن جيڠڬ. سنج إتو مروڤاكن ڤڠيڠت بهوا سڬالا سسواتو د دونيا إني هاڽ برسيفت سمنتارا. تيادا يڠ هاكيكي
سوفيا، سئورڠ ڬاديس بروسيا دوا ڤولوه ليم تاهون، برديري د تڤي جندلا رومه كايوڽ يڠ سرب اوسڠ. ڤنداڠنڽ منوروبوس جاوه ك همڤارن ساوه يڠ ممنتولكن چهاي سنج. د تاڠنڽ ترڬڠڬم بيڠكاي ڬمبر للام يڠ انتيك. ڬمبر إتو منونجوككن سئورڠ للاكي توا، سڽومڽڤنوه كاسيه سايڠ. اتوله اروه ايهڽ، ساتو-ساتوڽ كلوارڬ يڠ ڤرنه ديا ميليكي