Riausastra.com – Senyum dan sinis, itulah yang dilakukan oleh Tuah. Mundar-mandir dan sesekali mengeluh tidak lebih daripada ruang yang disediakan oleh Datuk Bendahara. Tuah memegang palang jendela. Wajah berkilat disapu cahaya yang mengintai di belakang pohonan. Tuah yang istimewa di mata pemerintah Melaka akhirnya merana angkara fitnah durjana.
Tuah sepertinya namanya sentiasa dikenang sebagai seorang yang bertuah.
Hidup dibawah naungan Duli yang Maha Mulia Sultan Melaka. Ayam tambatan Sultan. Orang kepercayaan Sultan malah lebih dari itu. Siapa diantara rakyat Melaka yang boleh lupa peristiwa Tuah menghunus senjata melawan amuk di pasar terbuka? Lupakah rakyat Melaka siapa yang menyerang Kampar? Apatah lagi pelbagai peristiwa di Tanah Jawa. Berapi dada Patih Gajah Mada dan Seri Batara dibuatnya.
Semua rakyat meletak Tuah dipersada ketika pertarungan menikam antara dia dan Taming Sari. Semua orang mengakui tiada siapa yang lebih setia. Selepas itu, ramai lagi pendekar, hulubalang dan segala macam pahlawan diminta menumpaskan Tuah, sebaliknya malu yang diterima dan tidak kurang nyawa melayang.
Tuah, orang yang setia, yang sanggup memanjang pohon kelapa yang sudah reput untuk mendapatkan buah kelapa idaman, yang sanggup terjun ke dalam pembentungan najis semata-mata untuk mengeluarkan kuda tungangan Sultan. Habis satu Melaka dicari seribu pewangi bagi mengharumkan semula si Tuah. Bukan sahaja fizikalnya yang harum, malah ketaatannya mengharumkan namanya di Melaka, apatah lagi di mata Sultan.
Kenangan bersama Jebat, itulah hal yang tidak kurang besar juga. Hal yang senantiasa menari dalam fikiran Tuah. Barangkali inilah takdir yang telah tertulis. Gandingan yang menjadi simbolik dan ikonik.
“Kami seperguruan,” kalimat yang tiba-tiba Tuah terdengar di telinga sendiri, dicakapkan sendiri daripada mulutnya.
Guru Adi Putra pernah membisikkan kepadaku bahawa Jebatlah isi dan kukumu. Tidak dapat dipisahkan. Dari kecil hingga dewasa. Sama-sama belajar bermula dari tari silat hinggakan kepada jurus mengunci dan menyerang. Jebat bukan sekadar kawan. Tetapi lebih dari itu. Bagai suadara dan dikatakan sebagai kembar.
Tuah mendengar Jebat mengamuk di istana. Bermaharajalela menakluk istana. Beribu orang rakyat Melaka terkorban sia-sia angkara amukan Jebat. Tiada siapa dapat menghalang dan menduga bagaimana kesudahannya.
“Orang Kaya, Orang Kaya.” Dari jauh Tuah mendengar panggilan pegawai istana.
Termengah-mengah pegawai istana berlari-lari datang memerihal kekejaman Jebat dan sekarang Jebat sedang bergembira di atas singgahsana. Jerat mengena dan akhirnya rancangan berjaya. Percaturan antara kuasa dan masa, bukan untuk hari ini tetapi melangkau hintungan masa hadapan. Rencana seperti mengena. Tuah ketawa.
Itu yang ditunggu-tunggu Tuah – hasilnya. Ya, hasil daripada perancangan yang dirangka beberapa purnama selepas menghitung untung rugi. Cagarannya bukan maruah tetapi menempa maut. Dia telah dijatuhi hukuman bunuh. Namun, segala dapat diatasi dengan bantuan Datuk Bendahara diatas hubungan baik yang dijalin sebelum ini. Datuk Bendahara seorang yang bijak namun terlalu jujur. Tuah teringat bahawa Sultan pernah kurniakan sebilah keris kepada Datuk Bendahara, sebaliknya Datuk Bendahara telah berikan kepada Tuah atas peranan dan tanggungjawabnya sebagai laksamana.
Tuah cuba mengenangkan kembali cubaanya untuk memfitnah Datuk Bendahara semasa peristiwa pertolongan menakluk negeri Kampar. Dia tahu bahawa Datuk Bendahara akan berdiam, sesuai tingkahnya sebagai orang bijaksana. Namun, Tuah terlupa bahawa pengaruh Datuk Bendahara lebih daripadanya. Maka, sewenang-wenang nama Datuk Bendahara dapat dibersihkan. Malah nama Tuah disebut-sebut sebagai penfitnah. Mujur suasana kembali jernih dengan langkah Tuah pergi dan tunduk merayu memohon maaf kepada Datuk Bendahara sebanyak tujuh kali. Daripada kejadian itulah Tuah lebih peka untuk meletakkan peranan Datuk Bendahara dalam rencananya.
Ingatan lalu berlalu bersama-sama angin dari jendela pondoknya. Tuah merenung di luar jendela. Bukan pohonan yang jelas di mata, sebaliknya segala perancangan yang diatur bermain di mata. Cagaran nyawa setimpal bagi merealisasikan impian menghilangkan onar. Bukan ancaman tetapi persaingan. Lupakah Jebat bahawa Adi Putra pernah mengatakan kita, iaitu Tuah dan Jebat tidak akan terpisah? Jebat lupa bahawa Tuah hanya ada satu, hanya satu. Bukan dua dan bukan kita berdua.
Mainan harus dirangka. Jebat terperangkap atas simpati dan empati melulu. Jebat seperti bangsanya yang lain. Melayu yang mudah disentuh emosi. Bertindak atas dasar setiakawan yang tidak bertepian. Jebat bukan sekadar kawan. Tetapi lebih dari itu. Sebagai bayang si Tuah. Malah hampir-hampir menyamai Tuah. Cuma kurangnya, Jebat mudah dikawal dan dimanipulasi. Telah diduga, Jebat akan menuntut bela. Namun yang lebih teruja, Jebat melakukan lebih dari itu. Bukan untuk diri Tuah, tetapi dendam dan impian seorang rakyat bawahan yang baru mendapat kuasa. Dikhabarkan bahawa Jebat telah merogol dan membunuh siapa yang menghalang. Bukan setitik dua darah tertumpah di bumi Melaka.
Alang-alang menyeluk perkasam. Tak akan hanya persaing sahaja yang harus dihapuskan? Harus atau tidak, semuanya adalah salah. Ya. Sistem ini, keseluruhannya. Sistem ini yang membentuk Tuah menjadi Tuah, tidak lebih dari itu. Tuah perlu mengubahnya. Dari atas dan keseluruhannya.
Bendahara – manusia yang dikatakan paling bijak pun masuk perangkap. Lupakah bendahara bahawa nenek moyangnya bukan orang lain dalam istana. Keturunan raja juga. Hari ini bendahara masih menjadi pekerja sultan. Cumanya diangkat lebih sedikit derjatnya dan digolongkan sebagai bangsawan.
Sultan tidak lebih daripada pemerintah. Tetap ada sempadan dan tembok diantara pemerintah dan yang diperintah. Tetap ada batasnya. Sampai bila Tuah harus berdepan dengan semua ini? Perlu hapuskan sekaligus tanpa dicurigai. Sudah lama Tuah dan rakyat lain menjadi hamba, hamba sebenar-benar erti kata. Patuh melulu walau tanpa setuju.
Berlari-lari sekali lagi pegawai istana datang ke pondok pesembunyian Tuah di Hulu Melaka mengkhabarkan bahawa Tuah dijemput ke istana oleh Sultan yang tengah berduka. Runsing melihat kekacauan yang berlaku. Habis punah negeri dan rakyat pun dikhabarkan ada yang sudah meninggalkan negeri. Pasar dan pelabuhan telah lenggang seperti dilanggar geroda. Terdengar suara-suara mereka melaungkan, “Kami bukan takut mati tapi kami belum bersedia untuk mati”.
Sultan mengaku tindakannya terburu-buru terhadap Tuah. Memang tidak patuh bertindak sedemikian rupa, namun apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur. Yang dikenang tidak pun dapat dikembalikan. Yang disesali tidak dapat juga diucapkan. Baginda tidak dapat bertenang memikirkan semuanya. Adakah inilah penamat kepada kerajaan Melaka? Adakah inilah penamat untuk dirinya juga? Bagaimana pula dengan segala harta benda dirinya? Namun secara beransur-ansur Baginda mula memikirkan hambanya yang taat bernama Tuah. Baru sekarang dikenang segala jasa dan pengorbanan hamba setianya itu. Kegusaran dan penyesalan di wajah Baginda ini dapat disedari oleh Datuk Bendahara. Mujur ada Datuk Bendahara yang rasional.
Pada Tuah, sejarah perlu diubah. Biar rakyat mendokong dan menyokongnya. Siapa raja yang sebenarnya? Semua orang patut mengakui rakyatlah raja sebenar. Rakyat yang ramai yang membentuk negeri. Sultan hanya ketua negeri. Bukan boleh bertindak sesuka hati. Ingat lagi Tuah tentang Raja Muhammad yang membunuh anak Paduka Raja. Hanya kerana sebiji bola sepak raga.
Semua orang tahu, Sultan adalah jantung sesebuah negeri. Katanya adalah undang-undang, lakunya adalah ikutan. Melaka dikuasai Sultan, namun lupakan semua orang bahawa rakyat Melaka telah membuat demonstrasi membantah tindakan Raja Muhammad? Demonstrasi pertama di Tanah Melayu. Mereka berarak ingin menuntut bela. Mujur Bendahara Paduka Raja sendiri yang menyabar para penyokongnya dan memberi kata putus yang sebenarnya amaran kepada Sultan sendiri. Tuah belajar dari itu bahawa Sultan pun ada kelemahannya. Sultan bukan mendengar nasihat dari orang kanannya tetapi mendengar sebuah peringatan keras. Ultimatum.
Tuah perlu bijak. Dia tidak mahu menjadi wira tanpa penentang. Maka watak penderhaka telah dicipta. Dia sendiri mereka cipta cerita, kononnya bermukah dengan jelitawan dari istana.
Tuah tidak mahu mengulangi kesilapan Sang Rajuna Tapa. Menentang tanpa persiapan rapi yang akhirnya memakan diri. Sesekali terbayang seksaan yang dihadapi keluarga Sang Rajuna Tapa yang dituduh berkhianat terhadap sultan. Tuah tidak akan biar nasibnya mengalami perkara begitu.
Selepas menumpaskan Jebat, maka Tuah akan menghasut semua pembesar, terutamanya Patih Karma Wijaya dan Datuk Bendahara sendiri. Mereka pembesar penting, yang menggerakkan jentera kerajaan. Jika mereka berdua dapat ditawan fikirannya, apatah lagi pembesar lain. Datuk Temenggung, Datuk Penghulu Bendahari pasti bersetuju sahaja.
Hasutan berbentuk begini, jikalau Tuah orang yang berjasa boleh dijatuhkan hukuman tanpa usul periksa, apatah lagi kepada orang lain, termasuklah pembesar-pembesar juga. Sekarang pun Sultan sudah menunjukkan ketidakmampuannya berfikir dengan waras, apatah lagi dikemudian hari. Pasti pelbagai hukuman tidak sewajarnya boleh dijatuhkan kepada sesiapa. Kuasa tidak terbatas Sultan akan merosakkan negara. Wajar dan perlu Sultan ini diturunkan takhta. Jika tidak, punahlah negara dan rakyat menjadi mangsa.
Sejarah Melaka sendiri pernah mencatatkan bagaimana peranan yang dimainkan oleh Tun Ali dan Raja Kassim ketika menentang Raja Rokan sehingga terbunuhnya Sultan Abu Syahid Shah. Akhirnya Tun Ali diangkat sebagai Bendahara dengan gelaran Sri Nara Diraja Tun Ali, manakala Raja Kassim ditabal Sultan Muzaffar Syah. Peristiwa itu semua diketahui oleh Tuah. Dahulu pernah terjadi, kenapa tidak sekarang? Walaupun situasi berbeza dengan apa yang sedang berlangsung, namun tujuannya sama. Masing-masing ada keperluan dan kepentingan. Perlu diturunkan Sultan yang sedia ada. Sesuatu perlu dilakukan dan perancangan perlu diatur.
Selepas ini apa pula? Semuanya sudah bermain-main dalam minda Tuah. Sudah dirancang langkah seterusnya. Hanya menunggu masa untuk terlaksana. Sekarang hanya perlu fokus dengan apa yang sedang berlaku.
Biar Jebat mabuk darah. Menghunus keris mengoyak segala rakyat jelata. Teruskan memandikan Melaka dengan darah. Biarkan, biarkan. Jebat yang setia, bukan pada tuannya. Jebat setia pada sahabatnya.
Akulah penderhaka yang perlu bermuka-muka. Senyum dan hampir ketawa. Rancangan hampir berjaya. Tuah mengikat samping di pinggang kemas-kemas. Meletakkan tanjak semolek-moleknya.
“Aku diperlukan.”
Tuah melangkah menuruni anak tangga, bersiap sedia ke istana menjunjung perintah menghapuskan penderhaka boneka.
Siapa mangsa dan siapa juara?
***
هله تواه
سڽوم دان سينيس ، إتوله يڠ ديلاكوكن اوله تواه. موندر مندير دان سسكالي مڠلوه تيدق لبيه دريڤادا رواڠ يڠ ديسإدياكن اوله داتوق بندهارا. تواه ممڬڠ ڤالڠ جندلا. واجه بركيلت ديساڤو چهاي يڠ مڠينتاي د بلاكڠ ڤوهونن. تواه يڠ إستيموا د مات ڤمرينته ملاك اخيرڽ مران اڠكارا فيتنه دورجان
تواه سڤرتيڽ نماڽ سنتياس ديكنڠ سباڬاي سئورڠ يڠ برتواه
هيدوڤ ديباوه ناوڠن دولي يڠ ماه موليا سولتن ملاك. ايم تمباتن سولتن. اورڠ كڤرچيائن سولتن ماله لبيه داري إتو. سياڤ ديانترارا ركيت ملاك يڠ بوله لوڤ ڤريستيوا تواه مڠهونوس سنجات ملاون اموق د ڤاسر تربو؟ لوڤاكه ركيت ملاك سياڤ يڠ مڽرڠ كمڤر؟ اڤاته لاڬي ڤلباڬاي ڤريستيوا د تانه جاوا. براڤي دادا ڤاتيه ڬاجه مادا دان سري بتارا ديبواتڽ
سموا ركير ملتق تواه د ڤرسادا كتيك ڤرتاروڠن منيكم انتارا ديا دان تاميڠ ساري. سموا اورڠ مڠاكوي تيادا سياڤ يڠ لبيه ستيا. سلڤس إتو، راماي لاڬي ڤندكر، هولوبالڠ دان سڬالا ماچم ڤهلاون ديمينت منومڤس تواه، سباليكڽ مالو يڠ ديتريم دان تيدق كورڠ ڽاوا ملايڠ
تواه، اورڠ يڠ ستيا، يڠ سڠڬوڤ ممنجڠ ڤوهون كلاڤ يڠ سوده رڤوت اونتوك منداڤتكن بواه كلاڤ إدامن، يڠ سڠڬوڤ ترجون ك دالم ڤمبنتوڠن ناجيس سمات-مات اونتوق مڠلواركن كودا توڠڬاڠن سولتن. هابيس ساتو ملاك ديچاري سريبو ڤواڠي باڬي مڠهارومكن سمولا سئ تواه. بوكن سهاج فيزيكلڽ يڠ هاروم، ماله كتائتنڽ مڠهارومكن نماڽ د ملاك، اڤاته لاڬي د مات سولتن
كناڠن برسام جبت، إتوله هل يڠ تيدق كورڠ بسر جوڬ. هل يڠ سننتياس مناري دالم فيكيرن تواه. برڠكالي إنيله تكدير يڠ تله ترتوليس. ڬنديڠن يڠ منجادي سيمبوليك دان إكونيك
“كامي سڤرڬوروان،” كاليمت يڠ تيب-تيب تواه تردڠر د تليڠا سنديري، ديچاكڤكن سنديري دريڤادا مولوتڽ.
ڬورو ادي ڤوترا ڤرنه ممبيسيككن كڤداكو بهوا جبتله إسي دان كوكومو. تيدق داڤت ديڤيسهكن. داري كچيل هيڠڬ دواس. سام-سام بلاجر برمولا داري تاري سيلت هيڠڬاكن كڤادا جوروس مڠونچي دان مڽرڠ. جبت بوكن سكدر كاون. تتاڤي لبيه داري إتو. باڬاي ساودارا دان ديكتاكن سباڬاي كمبر
تواه مندڠر جبت مڠاموق د إستان. برمهرجاللا منكلوق إستان. بريبو اورڠ ركيت ملاك تركوربن سيا-سيا اڠكارا اموكن جبت. تيادا سياڤ داڤت مڠهالڠ دان مندوڬ بڬايمان كسوداهنڽ
“اورڠ كاي، اورڠ كاي.” داري جاوه تواه مندڠر ڤڠڬيلن ڤڬاواي إستان
ترمڠه-مڠه ڤڬاواي إستان برلاري-لاري داتڠ ممريهل ككجامن جبت دان سكارڠ جبت سدڠ برڬمبيرا د اتس سيڠڬسان. جرت مڠن دان اخيرڽ رنچاڠن برجاي. ڤرچاتورن انتارا كواس دان ماس، بوكن اونتوق هاري إني تتاڤي ملڠكاو هينتوڠن ماس هداڤن. رنچان سڤرتي مڠن. تواه كتاوا
إتو يڠ ديتوڠڬو-توڠڬو تواه- هاسيلڽ. ي، هاسيل دريڤادا ڤرنچاڠن يڠ ديرڠك ببراڤ ڤورنام سلڤس مڠهيتوڠ اونتوڠ روڬي. چڬارنڽ بوكن مارواه تتاڤي منمڤ ماوت. ديا تله ديجاتوهي هوكومن بونوه. نامون، سڬالا داڤت دياتاسي دڠن بانتوان داتوق بندهارا د اتس هوبوڠن بايك يڠ ديجالين سبلوم إني. داتوق بندهارا سئورڠ يڠ بيجق نامون ترلالو جوجور. تواه تريڠت بهوا سولتن ڤرنه كورنياكن سبيله كريس كڤادا داتوق بندهارا، سباليكڽ داتوق بندهارا تله بريكن كڤادا تواه اتس ڤرانن دان تڠڬوڠجاوبڽ سباڬاي لكسمان
تواه چوب مڠنڠكن كمبالي چوبائنڽ اونتوق ممفيتنه داتوق بندهارا سماس ڤريستيوا ڤرتولوڠن منكلوق كمڤر. ديا تاهو بهوا داتوق بندهارا اكن برديام ، سسواي تيڠكهڽ سباڬاي اورڠ بيجكسان. نامون، تواه ترلوڤ بهوا ڤڠاروه داتوق بندهارا لبيه دريڤداڽ. اك، سونڠ-ونڠ نام داتوق بندهارا داڤت ديبرسيهكن. ماله نام تواه ديسبوت-سبوت سباڬاي ڤنفيتنه. نوجور سواسان كمبالي جرنيه دڠن لڠكه تواه ڤرڬي دان توندوق مرايو دان مموهون مائف كڤادا داتوق بندهارا سباڽق توجوه كالي. دريڤادا كجاديان إتوله تواه لبيه ڤك اونتوق ملتككن ڤرانن داتوق بندهارا دالم رنچناڽ
إڠاتن لالو برلالو برسام اڠين-اڠين داري جندلا ڤوندوكڽ. تواه مرنوڠ د لوار جندلا. بوكن ڤوهونن يڠ جلس د مات. چڬارن ڽاوا ستيمڤل باڬي مرياليساسيكن إمڤيان مڠهيلڠكن اونر. بوكن انچامن تتاڤي ڤرسايڠن. لوڤاكه جبت بهوا ادي ڤوترا ڤرنه مڠتاكن كيت، إيايتو تواه دان جبت تيدق اكن ترڤيسه؟ جبت لوڤ بهوا تواه هاڽ ادا ساتو، هاڽ ساتو. بوكن دوا دان بوكن كيت بردوا