gambar hanya ilustrasi. sumber: bing

Riausastra.com – Aisyah duduk di sisi tingkap biliknya. Sambil memandang jauh ke luar, sang suria yang biasanya menyinari mayapada dengan hangat kini tersembunyi di sebalik mega berarak kelabu. Hal ini seolah-olah turut berduka atas kehilangan yang baru sahaja melanda dalam mandala hidupnya. Laksana retak pertujuh, hatinya sarat dengan kerinduan yang tiada bertepi. Sudah tiga purnama sejak pemergian arwah Amir, suaminya yang tersayang. Namun demikian, rindu itu semakin hari semakin menyesakkan atma mengenang.

Amir ialah seorang lelaki yang sederhana. Tetapi kehadirannya dalam hidup Aisyah membawa kebahagiaan yang luar biasa. Mereka sering menghabiskan masa bersama di taman kecil di belakang rumah mereka. Setiap petang, Amir akan membacakan puisi moden mahupun puisi tradisional kegemarannya.  Aisyah akan mendengar dengan penuh perhatian sambil menikmati bunyi dedaunan yang ditiup angin. Namun, apakan daya, segala kenangan-kenangan itu kini hanya tinggal serpihan dalam fikirannya.

Setiap sudut rumah mereka mengingatkan Aisyah pada arwah Amir. Cawan teh di meja dapur yang pernah menjadi tempat mereka berbual panjang, buku-buku di rak yang sering dibaca bersama, bahkan aroma kayu cendana dari minyak wangi Amir yang masih melekat di bantalnya semuanya mengingatkan dia pada lelaki itu, dan semuanya membuat hatinya menangis. Tenggelam dalam segara kesedihan.

Pada suatu malam, ketika kesunyian menjadi teman paling setia, Aisyah memutuskan untuk membuka kotak kenangan yang disimpan di dalam almari biliknya. Kotak itu penuh dengan surat-surat, gambar-gambar, dan hadiah-hadiah kecil yang pernah diberikan oleh arwah suaminya. Salah satu surat itu menarik perhatiannya.  Itulah surat terakhir yang Amir tulis sebelum dia meninggal dunia.

‘Kepada bidadariku, Aisyah..’

Dalam surat itu, tulisan tangannya yang kemas kelihatan sedikit bergetar, mungkin ditulis ketika dia sedang sakit. Bagaikan air mata jatuh ke perut, Aisyah membaca tiap-tiap bait aksara yang ditulis oleh arwah suaminya sambil menahan air matanya jatuh ke pipi.

Kasih berpaling gadis terpana,
Cinta tidak ke hujung usia,
Kicau murai lagi mempersona,
Cintaku padamu tiada sirna

‘Jika kau membaca surat ini, aku mungkin sudah tiada lagi di sisimu. Tetapi ketahuilah, kasihku padamu tidak akan pernah sirna. Setiap saat bersamamu adalah anugerah yang tidak ternilai. Aku mahu kau terus kuat, terus hidup, dan terus mencipta kenangan indah walaupun tanpa kehadiranku.’

Air mata Aisyah jatuh setitis demi setitis membasahi surat itu.Dia tidak mampu menanggung duka dan rindu yang mendalam kepada arwah suaminya. Dia teringat akan janji yang pernah dia buat kepada Amir untuk tidak menyerah kepada kesedihan dan terus mengejar kebahagiaan, walaupun perpisahan itu begitu menyakitkan.

Bagaikan bersarak serasa hilang, bercerai serasa mati, pada keesokan harinya, Aisyah memutuskan untuk pergi ke taman tempat mereka sering menghabiskan masa bersama. Taman itu masih seperti biasa. Serayu-serayu yang tetap mekar dan kedengaran bunyi burung-burung berkicauan. Tetapi tanpa Amir, segalanya terasa kosong. Dia duduk di bangku kegemaran mereka, memandang ke langit, dan berbicara dengan Amir seolah-olah lelaki itu masih ada di sisinya.

‘Amir, aku rindu padamu,’ bisiknya perlahan.

‘Setiap hari aku cuba untuk kuat, tapi ada saat waktu di mana aku hanya ingin menyerah kepada takdir. Namun demikian, aku tahu kau pasti tidak mahu aku begini. Kau mahu aku terus hidup, bukan?’ desisnya lagi.

Angin sejuk tiba-tiba bertiup lembut, seakan-akan memberikan jawapan kepada soalan Aisyah. Dia memejamkan matanya dan membayangkan senyuman Amir, senyuman yang sentiasa memberinya kekuatan. Dalam hati, dia tahu bahawa Amir tidak pernah pergi. Cintanya masih hidup, tersemat di dalam setiap kenangan yang mereka bina bersama.

Hari-hari berlalu, dan Aisyah mula belajar untuk menerima kenyataan. Dia menghabiskan masanya dengan melukis, sebuah hobi yang diperkenalkan oleh Amir. Setiap lukisan yang dihasilkan adalah gambaran kenangan indah mereka. Taman tempat mereka berbual, rumah kecil yang menjadi inderaloka mereka, dan wajah Amir yang sentiasa mengukir senyuman umpama laut madu berpantai gula. Melalui seni, Aisyah merasakan kehadiran Amir sepertinya lelaki itu masih bersamanya.

Namun demikian, ada satu perkara yang belum pernah Aisyah lakukan sejak pemergian Amir. Iaitu melawat pusaranya. Dia tidak pernah merasa cukup kuat untuk berhadapan dengan kenyataan itu.Walaubagaimanapun, ketika mentari mula menyinari buana dengan lembut, Aisyah memberanikan diri untuk pergi ke sana.

Di pusara Amir, Aisyah duduk bersimpuh. Dia membawa sejambak serayu kegemaran Amir iaitu bunga matahari, simbol kebahagiaan dan kehangatan.

Dengan suara yang bergetar, dia berkata, “Amir, aku di sini. Aku minta maaf kerana mengambil masa begitu lama untuk datang. Aku hanya takut. Takut menerima kenyataan bahawa kau benar-benar tiada. Tapi hari ini, aku ingin kau tahu bahawa aku akan terus hidup dengan semangat yang kau tinggalkan untukku. Aku akan terus mencintaimu, walaupun kita tidak lagi berada di dunia yang sama.”

Angin lembut bertiup lagi, membawa harum bunga dan kehangatan yang mengasyikkan. Aisyah tersenyum, merasakan seolah-olah Amir mendengar setiap bait kata-katanya. Dia pulang dengan hati yang lebih ringan, membawa kenangan dan cinta Amir sebagai bekal untuk terus melangkah ke hadapan.

Dalam hidup, kehilangan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun, cinta yang sejati tidak akan pernah hilang. Cinta akan terus hidup, menjadi kekuatan untuk kita yang ditinggalkan. Bagi Aisyah, cinta Amir adalah bintang yang sentiasa menerangi jalannya, memberikan harapan dan kekuatan untuk menjalani hari-hari yang penuh cabaran. Selagi hidup, takdir adalah teka-teki yang tiada penghujungnya.

***

برسارق سراس هيلڠ، برچراي سراس ماتي

ائيشه دودوق د سيسي تيڠكڤ بيليكڽ. سمبيل ممندڠ جاوه ك لوار، سڠ سوريا يڠ بياساڽ مڽيناري ميڤادا دڠن هاڠت كيني ترسمبوڽي د سباليك مڬ برارق كلابو. هل إني سئوله-اوله توروت بردوك اتس كهيلاڠن يڠ بارو سهاج ملندا دالم مندالا هيدوڤڽ. لكسان رتق ڤرتوجوه، هاتيڽ سارت دڠن كريندوان يڠ تيادا برتڤي. سوده تيڬ ڤورنام سجق ڤمرڬيان اروه امير، سواميڽ ترسايڠ. نامون دميكيان، ريندو إتو سماكين هاري سماكين مڽسككن اتم مڠنڠ

TINGGALKAN KOMENTAR

Silakan masukkan komentar anda!
Silakan masukkan nama Anda di sini