gambar hanya ilustrasi. sumber: bing

Menanti Kad Lebaran

Setia menanti tibanya kad raya
bagaikan menanti malam seribu bulan
Sebaik waktunya kad lebaran tiba
bergegas keinginan rasa
menjengah ucap dan pesan kata
terhimpun dalam uncang bicara
pasti mewarnai aidilfitri bahagia.

Kad raya menjalin mesra ukhuwah
dalam aroma haruman mahabbah
dalam sampul hemah kad indah
ada lafaz santun mohon keampunan
atas tingkah dan latah keterlanjuran
juga halalkan segala yang disajikan
dan doa luhur tulus kecintaan
mengiringi penuh harapan
moga dipertemukan tahun hadapan.

Dalam kerendahan hati
terasa sebak menerima kad pengganti diri
kini, dunia maju mengubah aturan
kad raya Syawal mulia tak lagi dinantikan
di anjung kediaman.

PPJ Pontian, Johor, 14 Mac 2025

***

مننتي كد لبارن

ستيا مننتي تيباڽ كد راي
باڬايكن مننتي مالم سريبو بولن
سبايك وكتوڽ كد لبارن تيب
برڬڬس كئيڠينن راس
منجڠه اوچڤ دان ڤسن كات
ترهيمڤون دالم اونچڠ بيچارا
ڤستي مورناي ايديلفيتري بهاڬيا

كد راي منجالين مسرا الخوه
دالم اروم هارومن مهببه
دالم سمڤول همه كد إنده
ادا لافز سنتون موهون كئمڤونن
اتس تيڠكه دان كترلنجورن
جوڬ هاللكن سڬالا يڠ ديساجيكن
دان دوع لوهور تولوس كچينتائن
مڠيريڠي ڤنوه هراڤن
موڬ ديڤرتموكن تاهون هداڤن

دالم كرنداهن هاتي
تراس سبق منريم كد ڤڠڬنتي ديري
كيني، دونيا ماجو مڠوبه اتورن
كد راي شوال موليا تق لاڬي ديننتيكن
د انجوڠ كديامن

ڤ.ڤ.ج. ڤونتيان، جوهور، ١٤ مچ ٢٠٢٥

Puisi ini dialihaksarakan oleh Riausastra.com. Jika terdapat kesalahan pada penulisan aksara Arab Melayu, mohon tunjuk ajarnya ke WA 0895622119785
Artikel sebelumnyaPuisi: Senyuman Lebaran
Artikel berikutnyaPuisi: Jejak yang Terhapus
Mohd Rosli Bakir
Kelahiran Pontian, Johor, Malaysia. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu, USM, Pulau Pinang ini merupakan mantan pendidik juga seorang Munsyi Dewan (Sastera) dan penggiat puisi Melayu moden dan tradisional. Dikenali sebagai Penyair Ujung Selatan Benua Asia, beliau menumpukan penulisan dalam genre puisi dan rencana. Memiliki 94 buah antologi puisi (2004-November 2021) termasuk yang diterbitkan di Malaysia, Singapura, Indonesia dan India, satu kumpulan puisi berjudul Khabar dari Mimbar (ITBM, 2017-menang Anugerah Sastera Johor Kali ke X1 tahun 2019) dan tujuh buah buku kisah kehidupan (2018 – Jun 2020). Puisi beliau juga telah diterjemahkan dalam tulisan Jawi, Bahasa Jepun, Bahasa Tamil, Bahasa Malayalam, dan Bahasa Italy. Puisi beliau turut tersiar dalam buku cenderamata majlis, Mingguan Malaysia, Majalah IBU, Jendela Selatan DBPWS dan Buletin Persatuan Penulis Johor. Antara anugerah yang diterima termasuklah Aktivitis Penyair Johor (2011), Anugerah Sastera Johor (2009, 2019, 2021), Hadiah Utama Sayembara Penulisan Puisi Suara Hati Johor (2015), Muafakat Johor (2017 dan Harapan Johor (2019) serta Anugerah 21 Penulis Terbaik Pantun Nasihat Peringkat ASEAN (2021) Biodata lengkap beliau dicatat dalam buku Direktori 100 Penyair Malaysia (Julai 2018) terbitan Penyair Malaysia. Boleh dihubungi di talian +60197201570 Kediaman kekal: 66-A, Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, 82010 Pontian, Johor

TINGGALKAN KOMENTAR

Silakan masukkan komentar anda!
Silakan masukkan nama Anda di sini