Inilah Hari Kemenangan Anugerah Tuhan
Seakan tak percaya begitu lekasnya
Ramadhan sudah dekat dengan langkah pulang
walau sebulan waktu bersanding tak pernah rasa puas
sebolehnya tiada perpisahan hanya harapan semu
apalah daya menahan takdir
akhirnya kau terpaksa kulepas jua
dengan dua bayangan esok jumpa lagi
Tuhan tak sia-siakan segala amalan yang sempat digarap
Ramadhan, pelbagai mutiara keistimewaan kauhulurkan
tak semua terhimpun di tangan
kerana lemah dan alpa
kini baru tersedar
kalau ini luka tak ketemu lagi balutnya
tetap nganga dan berdarah
pedihnya mungkin selamanya
kecuali tahun depan diberikan lagi kesempatan
sudah tentu setiap detiknya kujadikan berharga
Sebentar lagi bila kau benar-benar sempurna melesat
berganti fajar Syawal tersungging manja di ufuk timur
semolek keriangan muncul di wajah anak-anak
menyambut ketibaan Idul Fitri
inilah hari kemenangan anugerah Tuhan
atas satu perjuangan melawan desakan nafsu
bertubi-tubi di kalbu
Melaka, Malaysia
19/4/2022 / 17 Ramadhan, 1442