gambar hanya ilustrasi. sumber: ai

Kusamnya Matahari Pagi Itu

Kusamnya matahari pagi itu
ia tersedak susu
berwarna kelabu dari tangisan hutan
dan perkebunan.

Api sedang bermonolog
tanpa peleraian
dan dari jauh
angin bersahutan
walau pun tiada yang menang
dalam banyak sesi perbahasan.

Yang tiba
sebungkam kekesalan
dari helai impi yang bertebaran di sebalik langsir.

Yang tiba
sebungkus persoalan
tak perlu jawapan berupa gunting mengerat akar berlilitan.

Bagi yang dewasa
tentu saja ia tautan takdir yang tidak mampu ditentukan sesiapa
jika mampu dikekang
ia cahaya lain
dalam kekuatan keluarga yang seiring.

Ia tidak meroboh apa-apa
kerana udara tidak berbeza
tanah tetap berwarna sama
begitu juga luka.

Batu 6, Paitan, Sabah
26 September 2026

***

كوسمڽ متهاري ڤاڬي إتو

كوسمڽ متهاري ڤاڬي إتو
إيا ترسدق سوسو
برورن كلابو داري تاڠيسن هوتن
دان ڤركبونن

اڤي سدڠ برمونولوڬ
تنڤ ڤلرايان
دان داري جاوه
اڠين برساهوتن
والاو ڤون تيادا يڠ منڠ
دالم باڽق سسي ڤربهاسن

يڠ تيب
سبوڠكم ككسالن
داري هلاي إمڤي يڠ برتبارن د سباليك لڠسير

يڠ تيب
سبوڠكوس ڤرسوالن
تق ڤرلو جواڤن بروڤ ڬونتيڠ مڠرت اكر برليليتن

باڬي يڠ دواس
تنتو ساج إيا تاوتن تكدير يڠ تيدق ممڤو ديتنتوكن سسياڤ
جيك ممڤو د ككڠ
إيا بهاي لاين
دالم ككواتن كلوارڬ يڠ سئيريڠ

إيا تيدق مروبوه اڤ-اڤ
كارن اودارا تيدق بربز
تانه تتڤ برورن سام
بڬيتو جوڬ لوك

باتو ٦، ڤايتن، سابه
٢٦ سڤتمبر ٢٠٢٦

Puisi ini dialihaksarakan oleh Riausastra.com. Jika terdapat kesalahan pada penulisan aksara Arab Melayu, mohon tunjuk ajarnya ke WA 0895622119785
RSSN2608-2019-1426-1008
Artikel sebelumnyaPuisi: Ketika Manusia Bermata Lara
Jelison Jupin
Jelison Jupin atau nama penanya J.r Jel berasal dari Kampung Batu 6, Paitan, Sabah. Kini, bertugas sebagai seorang guru Bahasa Melayu di SMK Simpangan, Beluran. Aktif menulis dalam genre sajak dan cerpen sejak tahun 2011. Karya-karyanya banyak disiarkan di Mingguan Malaysia, Berita Harian, Utusan Malaysia, Sinar Harian, New Sabah Times, Harian Ekspres, Suara Sarawak, SelangorKini, Dewan Sastera, Tunas Cipta, Pelita Bahasa, Dewan Budaya, Majalah Pendidik, Harmoni, Dewan Siswa, Wadah, dan lain-lain. Telah menyertai lebih 30 penerbitan antologi sajak dalam tanah air. Pencapaian terbaik sepanjang terlibat dalam bidang penulisan kreatif, sajaknya yang berjudul Kaizen Merdeka telah terpilih memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2017/2018.

TINGGALKAN KOMENTAR

Silakan masukkan komentar anda!
Silakan masukkan nama Anda di sini