gambar hanya ilustrasi. sumber: bing

Riausastra.com – Hari ini dewan rakyat sebulat suara meluluskan kenaikan gaji dan elaun setiap ahli parlimen bagi penggal tahun 2022/2023. Usul yang diluluskan itu melayang dari peti television yang tergantung di dinding kedai Pak Jalil. Bagi rakyat, pengumuman itu tidak memberi apa-apa erti bahkan tidak mengubah apa-apa dalam kehidupan harian mereka. Mungkin ayat itu sedang bersarang di dalam kepala pengundi ketika ini.

Tepukan bergema dari meja berbentuk ladam kuda di dewan rakyat kian bingit seolah-olah mengejek telinga-telinga pengundi. Bunyi itu terus keluar dari pembesar suara yang tergantung bersebelahan tv kedai makan itu. Satu-satunya kedai yang ada di Kampung Nelayan Kuala Belat.

“Ayam goreng”, bisik Kamal pada dompetnya yang tenganga dan wang kertas lima ringgit kaku terbaring sendirian. Sehelai itu sahaja. Kamal menutup dompetnya kemas dan mencapai bekas makanan. Matanya liar mencari nasi dan ayam goreng. ”Zara nak ayam goreng je”, itu jawapan Zara, anak tunggal apabila ditanya ibunya Rozita binti Ahmed kelmarin. Suara kecil Zara masih bermain-main di cuping telinga Kamal. Hanya ayam goreng yang dipinta sebagai hadiah setelah Zara mendapat tempat pertama di dalam kelas bagi peperiksaan pertengahan tahun.

“Kak…berapa ni?” Kamal menghulur bekas makanan pada Kak Ana, isteri kepada Pak Jalil, pemilik kedai di Jeti Nelayan Kuala Belat. “Rm5.50 Mal, balas Kak Ana dengan memanggil Mal, tanda sudah mesra.

Kak Ana mengenali Kamal agak lama, sejak Kamal kecil lagi. Setelah Kamal dibehentikan kerja di bandar, asbab syarikatnya tidak lagi mengaji pekerja kira-kira 6 bulan yang lalu, pilihan yang ada cuma pulang ke kampung dan tinggal di rumah nelayan kepunyaan arwah ayahnya. Rumah papan yang keuzuran setelah ditinggalkan lapan tahun lalu. Itulah tempat Kamal membesar sebagai anak tunggal, sebagai anak nelayan. Dan kini adalah tempat Kamal, Rozita dan Zara berteduh dari pijar mentari dan ludah hujan atau amukan ribut.  

Kamal meraba-raba poket seluarnya dengan harapan ada terselit besi bulat lima puluh sen untuk dicampurkan dengan wang kertas 5 ringgit di dalam dompetnya. Namun hampa. “Kak Ana, tak apalah.” Kamal membuka bekas makanan dan meletakkan kembali peha ayam di bekas berwarna perak. Tergolek peha ayam itu mencium peha ayam lain yang masih terbaring tidak terusik.

“Laaa… kenapa Kamal? “, tanya Kak Ana kehairanan. “Tak cukup duit”. Kamal tersengih menahan malu dengan mukanya kemerahan dan matanya sepet hampir menutup keseluruhan bebola mata di wajahnya.  

Kak Ana terdiam namun kakinya cergas melangkah satu meter ke kanan dan mencapai penyepit. Pantas dia meletakkan semula peha ayam ke dalam bekas makanan yang masih terbuka di tangan kamal.

“Mal… kalau Zara yang nak makan, akak sedekah je… kesian anak tu”. Kamal tunduk tanpa sepatah perkataan yang cuba melompat keluar dari pagar gigi dan dua rekahan bibirnya. Hanya tangan perlahan menutup bekas makanan. Perasaan malu mendakap tubuh Kamal. Manik – manik mula lahir di lembah wajahnya dan mengalir ke belukar di sekeliling dagu.

“Tak dapat kerja lagi ke mal?”, soal Kak Ana sambil tangannya mengelap meja yang baru saja ditinggalkan pelanggan.

“Belum kak, ada juga pergi temuduga dekat pekan tu, tapi semuanya suruh saya tunggu panggilan saja”. Kali ini, kata-kata dari Kamal agak panjang, mungkin untuk melepaskan sedikit beban yang ditanggung. Ditambah pula setelah isterinya baru menghidapi penyakit ganjil. Lumpuh separuh badan sejak dua bulan yang lalu.

Ia seperti mimpi ngeri buat Rozita, dia diberi air minuman percuma yang dikatakan berkhasiat ketika membeli barangan basah di pasar malam. Kata penjual akar kayu tersebut, air rebusan itu baik untuk mengeluarkan angin dalam badan, membetulkan urat dan menjadikan badan terasa lebih ringan. Namun setelah pulang ke rumah, Rozita mula merasa kebas di kedua belah kakinya, dia tidak lagi dapat menggerakkan kakinya. Seolah – olah lumpuh dengan tiba-tiba. Entah apa campuran ramuan yang diberikan kepada Rozita. Kamal betu-betul rasa diuji oleh Ilahi. Sudah jatuh ditimpa tangga.

Kak Ana menarik kerusi dan duduk, nafasnya mula berbunyi kuat setelah tiga meja dibersihkan. “Kau ada minta bantuan dari YB? “, pertanyaan Kak Ana bagai mata lembih. Tajam, seolah-olah hati Kamal sedang direjam dengan perlahan namun berulang-ulang kali. Luka yang lama seperti di basahi perahan limau nipis. Pedih dan perit.

“Tiga bulan lepas ada YB janji nak bagi saya kerja kak. Masa tu dia minta tolong saya uruskan perjalanan harian semasa berkempen, macam-macam saya buat”. Sambung Kamal sambil merenung air surut di Kuala Belat.

Memang benar Kamal antara orang kuat yang diharapkan oleh YB Hairul ketika berkempen. Dari logistik sehinggalah ke teks ucapan dan ceramah tak kira siang atau malam. Semuanya Kamal sediakan. Pemuda itu memang mahir dalam hal ini. Dia adalah graduan lulusan dari Fakulti Sains Politik di sebuah universiti di utara tanah air. ”katanya nak offer saya kerja tetap, tapi setakat tu je lah kak, senyap je” kata Kamal.

Kak Ana mengangguk tanda faham apa yang diceritakan oleh Kamal. Suasana di kedai agak lengang, tidak sesibuk jam dua belas tengah hari tadi. Ketika itu, semua kerusi dan meja dipenuhi pelanggan. Baik dari orang kampung, nelayan, mahupun pelanggan dari bandar.

Ramai orang menggemari masakan Kak Ana. Tambahan pula di kedainya ada menu istimewa, Mentarang Bakar. Jarang ada di kedai atau di daerah lain. Sejak Pak Jalil mengambil alih restoran ini dari arwah ibunya, Kak Ana lah yang banyak menguruskan restoran. Pak Jalil hanya membantu. Dia kurang cekap dalam hal kira-kira dan untung rugi.

Kamal akhiri perbualan dengan keluhan panjang kali ini. “Entahla kak, lepas mengundi hari tu, YB langsung tak jawab call saya, Whatssap pun tak balas”. Kak Ana hanya mendengar dan mengangguk. Muncung tudungnya sudah seperti burung belatuk, mematuk-matuk.

“Kamal, kalau tak salah, hari ni YB datang sini, si Naz bawak rombongan YB ke laut, nak bina chalet di pulau katanya”. Kak Ana diberitahu oleh Naz tentang perancangan YB untuk berbincang dengan pelabur yang ingin membina chalet di pulau Batu Bertangkup.

Kamal melangkah keluar meninggalkan Kak Ana yang masih duduk di kerusi, tubuh berisi Kak Ana seperti digam pada lantai kerusi. Kata-kata Kak Ana langsung tidak hinggap di cuping telinga Kamal. Hanya terbang dan hilang ditiup bayu dari kuala. Kunci dipusing pada arah kanan dan Kamal menghidupkan motornya tanpa mempedulikan Kak Ana. Dipulasnya enjin, agak kuat bunyi ekzos.  Mungkin itu mewakili bunyi isi hati kecilnya yang hendak menjerit tentang nasib kehidupanya tetapi tidak berupaya. Namun Kamal tidak pernah membenci atau meletakkan nasibnya pada belas ehsan YB.

“Mana-mana rakyat yang susah, ianya adalah kesusahan saya. Saya akan bantu setiap pengundi-pengundi di bawah kawasan jagaan saya”. Laungan dari YB Hairul disambut dengan pekikan dan tepukan meriah dari pengundi-pengundi yang hadir pada malam terakhir kempen pilihan raya tahun 2022. “Kamal, you punya ayat, teks memang power la”. Yb Hairul menepuk bahu Kamal berulang kali sebagai tanda berpuas hati dengan teks ceramah yang ditulis oleh Kamal, Pegawai yang dilantik untuk membantu perjalanan kempen beliau.

Bagi Kamal,  YB Hairul mungkin sibuk dalam tugasan atau sudah melupakan dirinya. Kamal, tidak pernah menyesal membantu Yb Hairul ketika berkempen di pilihan raya umum suatu ketika dahulu.

Pemuda itu menyerahkan segala takdirnya pada Ilahi. Sememangnya telah diajar dari kecil oleh arwah ayahnya supaya menjadi manusia yang berdiri di atas kaki sendiri bukan hidup membukit dari ehsan orang lain. Kata nasihat itu betul-betul disemat pada fikirannya. Dia juga bukanlah jenis pemuda yang cepat putus asa, sambil mencari kerja di bandar, setiap petang dia akan menjala ikan di sekitar Kuala Belat dijadikan lauk di rumah.

Pang!… satu dentuman kuat kedengaran dari simpang tiga berhampiran kedai Pak Jalil. Hanya berjarak 50 meter. Kelihatan kereta pacuan empat roda berwarna kelabu, buatan Japan menghentam sebuah motor. Penunggang motosikal melambung ke udara jatuh di atas jalan dek kerana hentaman kuat dari pacuan empat roda yang dipandu laju. Mangsa menggelepar seperti ikan yang dicampak ke daratan. Darah mula menyembur dan membasahi jalan.

“Alamak YB.. Saya langgar motor”, kata pemandu kepada tuannya. ”Its okay Pak Mat, you call Kamal, budak kampung ni yang kerja dengan kita dulu.” Pesan YB dengan tenang. ”Cakap pada Kamal, tolong handle sampai selesai ya… nanti saya bagi sedikit upah, kita nak cepat ni”. Pemandu itu terus meluncur ke jeti tanpa berhenti ke tempat kemalangan. Sekujur badan masih tertiarap bersama seketul peha ayam. Pak Jalil dan Kak Ana kelihatan berlari menuju mangsa kemalangan tersebut sambil menjerit, Kamal!

***

ڤه ايم اونتوق زارا

هاري إني دوان ركيت سبولت سوارا ملولوسكن كنايكن ڬاجي دان الاون ستياڤ اهلي ڤرليمن باڬي ڤڠڬل تاهون ٢٠٢٢/٢٠٢٣. اوسول يڠ ديلولوسكن إتو ملايڠ داري ڤتي تلۋيسيون يڠ ترڬنتوڠ د دينديڠ كداي ڤق جاليل. باڬي ركيت، ڤڠومومن إتو تيدق ممبري اڤ-اڤ ارتي بهكن تيدق مڠوبه اڤ-اڤ دالم كهيدوڤن هاريان مرك. موڠكين ايت إتو سدڠ برسارڠ د دالم كڤالا ڤڠوندي كتيك إتو

تڤوكن برڬم داري مج بربنتوق لادم كودا د دوان ركيت كيان بيڠيت سئوله-اوله مڠجك تليڠا-تليڠا ڤڠوندي. بوڽي إتو تروس كلوار داري ڤمبسر سوارا يڠ ترڬنتوڠ برسبلاهن تۋ كداي ماكن إتو. ساتو-ساتوڽ كداي يڠ ادا د كمڤوڠ نلاين كوالا بلت

ايم ڬورڠ، بيسيك كامل ڤادا دومڤتڽ يڠ ترڠاڠا دان وڠ كرتس ليم ريڠڬيت كاكو ترباريڠ سنديريان. سهلاي إتو سهاج. كامل منوتوڤ دومڤتڽ كمس دان منچاڤاي بكس مكانن. متاڽ ليار منچاري ناسي دان ايم ڬورڠ. “زارا نق ايم ڬورڠ ج”، إتو جواڤن زارا، انق توڠڬل اڤابيلا ديتاڽ إبوڽ روزيت بينتي اهمد كلمارين. سوارا كچيل زارا ماسيه برماين-ماين د چوڤيڠ تليڠا كامل. هاڽ ايم ڬورڠ يڠ ديڤينت سباڬاي هادياه ستله زارا منداڤت تمڤت ڤرتام د دالم كلس باڬي ڤڤريكسائن ڤرتڠاهن تاهون

Artikel sebelumnyaPuisi: Habuk Dunia
Artikel berikutnyaPuisi: Layar Pecah
Airul Affendi Bin Ali
Nama pena A.Affendi0937 @ Lekir mewakili Airul Affendi Bin Ali, dilahirkan negeri Pahang. Kemudian bersekolah di SMK Seri Tualang dan melanjutkan pelajaran di Universiti Kuala Lumpur dalam bidang Kejuruteraan Kimia (Persekitaran). Belia merupakan seorang jurutera dan teknologis (Ts) bertauliah dan kini beliau telah menetap di Puchong, Selangor. Minat mendalam dalam penulisan sastera telah mendorong beliau menulis di dalam beberapa buah buku antologi puisi dan puisi beliau juga pernah tersiar di dalam akhbar perdana seperti Utusan Borneo, Wilayahku, Harian Ekpres Sabah, Berita Harian, Suara Sarawak dan Mingguan Malaysia. Sajak bertajuk Pertarungan telah tersiar di dalam Dewan Sastera pada keluaran Jun 2023.

TINGGALKAN KOMENTAR

Silakan masukkan komentar anda!
Silakan masukkan nama Anda di sini