sumber ilustrasi asli: pixabay

Orang Kampung

Orang kampung hatinya senang
Tiada gundah dari pagi ke petang

Orang kampung banyak peminat
Berbaris gadis nan penuh hajat

Orang kampung jangan digertak
Sekali mengamuk, datangnya setrak

Orang kampung senyum sentiasa
Malar ketawa tanpa sandiwara

Orang kampung pandai bertanam
Menyemai berzaman adat dan resam

Orang kampung bersyukur belaka
Walaupun semua cukup-cukup saja

Orang kampung orang budiman
Dihormat walau berlainan pegangan

Orang kampung suka bercanda
Mencari masalah bukan agenda

Orang kampung pekertinya mulia
Penuh santun kelakuan mereka

Orang kampung sungguh di pedalaman
Tetap maju, tak pernah ketinggalan

Orang kampung semuanya dermawan
Senang bersedekah tak kira kawan

Orang kampung tegar dan gigih
Semua dilakukan tanpa berdalih

Orang kampung tetaplah di hati
Tidak dilupa asal dan identiti

***

اورڠ كمڤوڠ

اورڠ كمڤوڠ هاتيڽ سنڠ
تيادا ڬونده داري ڤاڬي ك ڤتڠ

اورڠ كمڤوڠ باڽق ڤمينت
برباريس ڬاديس نن ڤون هاجت

اورڠ كمڤوڠ جاڠن ديڬرتق
سكالي مڠاموق، داتڠڽ سترق

اورڠ كمڤوڠ سڽوم سنتياس
مالر كتاوا تنڤ سنديوارا

اورڠ كمڤوڠ ڤنداي برتانم
مۑماي برزامن ادت دان رسم

اورڠ كمڤوڠ برشوكور بلاك
والاوڤون سموا چوكوڤ-چوكوڤ ساج

اورڠ كمڤوڠ اورڠ بوديمن
ديهورمت والاو برلاينن ڤڬاڠن

اورڠ كمڤوڠ سوك برچندا
منچاري مساله بوكن اڬندا

اورڠ كمڤوڠ ڤكرتيڽ موليا
ڤنوه سنتون كلاكوان مرك

اورڠ كمڤوڠ سوڠڬوه د ڤدلامن
تتڤ ماجو، تق ڤرنه كتيڠڬالن

اورڠ كمڤوڠ سمواڽ درماون
سنڠ برسدكه تق كيرا كاون

اورڠ كمڤوڠ تڬر دان ڬيڬيه
سموا ديلاكوكن تنڤ برداليه

اورڠ كمڤوڠ تتڤله د هاتي
تيدق ديلوڤ اسل دان إدنتيتي

Gurindam ini dialihaksarakan oleh Riausastra.com. Jika terdapat kesalahan pada penulisan aksara Arab Melayu, mohon tunjuk ajarnya ke WA 0895622119785
Artikel sebelumnyaPuisi: Sotieh
Artikel berikutnyaPuisi: Untuk Palestina
Adie Abd Gani
Lahir pada Mei 1988 di Tanjung Manis, Sarikei. Menggunakan nama pena "Adie Abd Gani" sebagai identiti pengenalan dalam laman sastera negara. Merupakan anak sulung daripada 2 adik beradik dan sangat meminati bidang sastera sejak sekolah menengah lagi. Mula menulis puisi, terutamanya sajak moden sejak umur 18 tahun sehingga sekarang. Hanya ada beberapa puisi sahaja yang disiarkan di akhbar, tetapi aktif memuat naik puisi nukilan di ruangan TikTok, sebagai makalah luahan peribadi. Meminati genre sastera yang lain juga seperti cerpen, certot, pantun dan gurindam. Masih menimba ilmu dan mengasah diri dalam kepengarangan puisi dan cerpen melalui ulasan di akhbar dan ruangan sastera yang lain.

TINGGALKAN KOMENTAR

Silakan masukkan komentar anda!
Silakan masukkan nama Anda di sini